Thursday, April 15, 2010

Berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh...cayok!!







Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Kulai bakal menggegarkan pasaraya TJ Mart, Saleng, Kulaijaya pada 17 April 2010. SMK Bandar Tenggara 2 tidak ketinggalan turut rancak berlatih demi untuk memberikan persembahan yang dijangka bertenaga di sana nanti. Dengan sentuhan Veteran 'percussion', Tn. Hj. Cikgu Khairudin Abu Nawas, dijangka akan ada kelainan pada persembahan muzik nanti... nantikan kemunculan kumpulan Rijalul Huda di sana...hehe

Friday, April 9, 2010

Usrah GPI SMK Bandar Tenggara 2 terlaksana juga...

Akhirnya, Usrah GPI SMK Bandar Tenggara 2 terlaksana juga setelah tertangguh sejak awal tahun ini. Dengan menjadikan meja makan bilik guru sebagai lokasi, program tersebut dijalankan dengan pembuka kata, diteruskan dengan pembacaan petikan kitab 'makaanatul 'ilmi wal 'ulama' wa aadab tolibil ilmi dan huraian ringkas, diserikan dengan soalan dan bertukar pandangan dan akhirnya ditutup(ditangguh) dengan penentuan pembentang pada sesi pertemuan akan datang dan tasbih kaffarah. Sebenarnya program bukan untuk GPI sahaja, guru-guru lain pun turut dipelawa untuk bermuzakarah sekali. Pagi tadi, cikgu Zainab turut serta berkongsi maklumat dan pandangan. Semoga usaha yang baik ini akan berterusan dan bertambah mantap dari semasa ke semasa. amin

Saturday, April 3, 2010

Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah KPM Peringkat Daerah Kulai Yang Sangat Bermakna !






Hari ini kejayaan terukir lagi di SMK Bandar Tenggara 2. Dengan memperolehi 3 tempat johan dan 2 naib johan daripada 8 acara yang dipertandingkan di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Kulai bagi Tahun 2010 di SMK Senai, Kulai, Johor membuktikan kewibawaan peserta-peserta yang mewakili SMK Bandar Tenggara 2 dan keunggulan sekolah dalam MTQSS yang merupakan acara rutin setiap tahun. Lebih menggembirakan lagi, rata-rata peserta yang menang, pernah gagal beberapa kali percubaan dalam MTQSS sebelum ini dan akhirnya berjaya berada di puncak setelah berada di SMKBT2 dengan sokongan padu daripada Guru Pendidikan Islam yang terlibat secara langsung atau tidak secara langsung.

Kejayaan ini lebih bermakna lagi kerana ia turut melibatkan sokongan padu dalam bentuk perkongsian kemahiran oleh bekas murid SMKBT 2 yang pernah menjadi johan MTQSS suatu ketika dahulu. Nampaknya, hubungan antara senior dan junior, student dan ex-student yang begitu erat memberikan suatu dorongan positif ke arah kecemerlangan murid dalam aktiviti ko-akademik pendidikan Islam.

Satu perkara lagi yang dapat dijadikan iktibar, kejayaan murid sangat bergantung kepada sejauh mana keakraban antara murid dan guru yang boleh diistilahkan sebagai bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan moral yang tidak berbelah bagi. Adalah sangat perlu bagi seorang guru, meluangkan masa bersama murid dalam sesi latihan dan memberi tunjuk ajar secara spontan kerana banyak perkara yang boleh diperbaiki melalui pendekatan talaqqi musyafahah. Begitu juga dengan kaedah penguasaan kemahiran khas dalam ilmu tarannum dan berzanji. Adalah lebih berkesan sekiranya murid itu ditekankan supaya menguasai kaedah lagu-lagu tarannum satu persatu sehingga betul kemudian barulah mempraktikkannya pada ayat-ayat yang ditentukan. Cara 'meniru' bacaan dari orang lain semata-mata mungkin tidak memberi kesan jangka panjang yang baik sebagaimana yang dapat dipelajari oleh peserta tilawah lelaki kali ini. Dengan penguasaan lagu tarannum satu demi satu, akhirnya peserta dapat menguasai kemahiran setiap lagu dengan baik dan Insya Allah boleh dipertingkatkan lagi untuk menghadapi persaingan yang lebih mencabar di peringkat negeri nanti.

Dengan ini dirakamkan ucapan Tahniah kepada semua yang terlibat iaitu Ustaz Mohd Radhi bin Yaacob, Ustaz Zainal Abidin bin Mohd Don, Ustazah Maryam bin Zakaria, Kak Arifah,Pentadbir dan para guru SMKBT2 , adik Sabaruddin, Che Ku Anas, Amirul Asyraf, Muhammad Faiz, Hidayah, Nurul Huda, Shahira, Syazwani, Ainul Fitri, Aminah dan semua yang tidak tercatat di sini atas sumbangan bakti menjadikan kejayaan ini suatu realiti. Sebenarnya, selain anugerah Allah S.W.T yang perlu disyukuri, terkandung padanya seribu hikmah dan suatu tanggungjawab pada agama yang perlu diperhalusi menerusi pandangan akal yang bersuluh iman dan taqwa. BaarakaLlahu lana walakum wajazakumuLlahu khairan kathiran. :)