Thursday, April 15, 2010

Berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh...cayok!!







Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Kulai bakal menggegarkan pasaraya TJ Mart, Saleng, Kulaijaya pada 17 April 2010. SMK Bandar Tenggara 2 tidak ketinggalan turut rancak berlatih demi untuk memberikan persembahan yang dijangka bertenaga di sana nanti. Dengan sentuhan Veteran 'percussion', Tn. Hj. Cikgu Khairudin Abu Nawas, dijangka akan ada kelainan pada persembahan muzik nanti... nantikan kemunculan kumpulan Rijalul Huda di sana...hehe

Friday, April 9, 2010

Usrah GPI SMK Bandar Tenggara 2 terlaksana juga...

Akhirnya, Usrah GPI SMK Bandar Tenggara 2 terlaksana juga setelah tertangguh sejak awal tahun ini. Dengan menjadikan meja makan bilik guru sebagai lokasi, program tersebut dijalankan dengan pembuka kata, diteruskan dengan pembacaan petikan kitab 'makaanatul 'ilmi wal 'ulama' wa aadab tolibil ilmi dan huraian ringkas, diserikan dengan soalan dan bertukar pandangan dan akhirnya ditutup(ditangguh) dengan penentuan pembentang pada sesi pertemuan akan datang dan tasbih kaffarah. Sebenarnya program bukan untuk GPI sahaja, guru-guru lain pun turut dipelawa untuk bermuzakarah sekali. Pagi tadi, cikgu Zainab turut serta berkongsi maklumat dan pandangan. Semoga usaha yang baik ini akan berterusan dan bertambah mantap dari semasa ke semasa. amin

Saturday, April 3, 2010

Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah KPM Peringkat Daerah Kulai Yang Sangat Bermakna !






Hari ini kejayaan terukir lagi di SMK Bandar Tenggara 2. Dengan memperolehi 3 tempat johan dan 2 naib johan daripada 8 acara yang dipertandingkan di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Kulai bagi Tahun 2010 di SMK Senai, Kulai, Johor membuktikan kewibawaan peserta-peserta yang mewakili SMK Bandar Tenggara 2 dan keunggulan sekolah dalam MTQSS yang merupakan acara rutin setiap tahun. Lebih menggembirakan lagi, rata-rata peserta yang menang, pernah gagal beberapa kali percubaan dalam MTQSS sebelum ini dan akhirnya berjaya berada di puncak setelah berada di SMKBT2 dengan sokongan padu daripada Guru Pendidikan Islam yang terlibat secara langsung atau tidak secara langsung.

Kejayaan ini lebih bermakna lagi kerana ia turut melibatkan sokongan padu dalam bentuk perkongsian kemahiran oleh bekas murid SMKBT 2 yang pernah menjadi johan MTQSS suatu ketika dahulu. Nampaknya, hubungan antara senior dan junior, student dan ex-student yang begitu erat memberikan suatu dorongan positif ke arah kecemerlangan murid dalam aktiviti ko-akademik pendidikan Islam.

Satu perkara lagi yang dapat dijadikan iktibar, kejayaan murid sangat bergantung kepada sejauh mana keakraban antara murid dan guru yang boleh diistilahkan sebagai bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan moral yang tidak berbelah bagi. Adalah sangat perlu bagi seorang guru, meluangkan masa bersama murid dalam sesi latihan dan memberi tunjuk ajar secara spontan kerana banyak perkara yang boleh diperbaiki melalui pendekatan talaqqi musyafahah. Begitu juga dengan kaedah penguasaan kemahiran khas dalam ilmu tarannum dan berzanji. Adalah lebih berkesan sekiranya murid itu ditekankan supaya menguasai kaedah lagu-lagu tarannum satu persatu sehingga betul kemudian barulah mempraktikkannya pada ayat-ayat yang ditentukan. Cara 'meniru' bacaan dari orang lain semata-mata mungkin tidak memberi kesan jangka panjang yang baik sebagaimana yang dapat dipelajari oleh peserta tilawah lelaki kali ini. Dengan penguasaan lagu tarannum satu demi satu, akhirnya peserta dapat menguasai kemahiran setiap lagu dengan baik dan Insya Allah boleh dipertingkatkan lagi untuk menghadapi persaingan yang lebih mencabar di peringkat negeri nanti.

Dengan ini dirakamkan ucapan Tahniah kepada semua yang terlibat iaitu Ustaz Mohd Radhi bin Yaacob, Ustaz Zainal Abidin bin Mohd Don, Ustazah Maryam bin Zakaria, Kak Arifah,Pentadbir dan para guru SMKBT2 , adik Sabaruddin, Che Ku Anas, Amirul Asyraf, Muhammad Faiz, Hidayah, Nurul Huda, Shahira, Syazwani, Ainul Fitri, Aminah dan semua yang tidak tercatat di sini atas sumbangan bakti menjadikan kejayaan ini suatu realiti. Sebenarnya, selain anugerah Allah S.W.T yang perlu disyukuri, terkandung padanya seribu hikmah dan suatu tanggungjawab pada agama yang perlu diperhalusi menerusi pandangan akal yang bersuluh iman dan taqwa. BaarakaLlahu lana walakum wajazakumuLlahu khairan kathiran. :)

Wednesday, January 6, 2010

Al-Quran Menjana Kecemerlangan Hidup

Pelajaran Pertama Tingkatan Satu

Bab : Tilawah Bacaan, Kefahaman dan Hafazan.

1. Alif, Laam, Miim.

2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;

3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.

4. Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

5. Mereka itulah Yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang Yang berjaya.

Makna potongan ayat :-

1. Ÿƒ-Tidak ada sebarang syak / tiada keraguan

2. - bagi orang-orang yang bertakwa

3. - dengan perkara ghaib

4. - mereka bersedekah / berinfaq

5. - mereka yakin

Kefahaman ayat

1. Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril.

2. Al-Quran mengandungi 6236 ayat dan merupakan mu’jizat yang kekal abadi sehingga hari kiamat.

3. Ciri-ciri Al-Quran ialah seperti berikut :-

- Mempunyai 30 juzu’

- Dimulakan dengan surah al-Fatihah

- Diakhiri dengan surah an-Naas

- Dalam Bahasa Arab

4. Antara isi kandungan Al-Quran ialah :

a) Persoalan akidah dan tauhid

b) Ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji

c) Peraturan dan adab berkomunikasi antara makhluk

d) Nilai-nilai akhlak yang mulia

e) Kisah-kisah para rasul dan nabi serta umat terdahulu

f) Perundangan dan peraturan hidup

Tuesday, January 5, 2010

Adab Seorang Murid








Jika kita berguru, maka ingatlah perkara-perkara di bawah :-

Kata Imam Ghazali (505H) dalam kitab bidayatul hidayah.

Adab-adab seorang murid

Adapun adab-adab seorang murid terhadap gurunya maka iaitu :
1. Apabila ia menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu.
2. Jangan membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya.
3. Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya.
4. Jangan bertanya kepada gurunya sebelum dia meminta izin.
5. Jangan dia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan gurunya seperti dia berkata si pulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu.
6. Jangan dia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka dia menyangka dia lebih mengetahui daripada gurunya.
7. Jangan dia berbisik dengan orang yang duduk ditepinya ketika gurunya memberikan pelajaran.
8. Jangan dia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah dia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang sembahyang.
9. Jangan dia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika dia letih.
10. Apabila gurunya berdiri hendaklah dia berdiri untuk menghormatinya.
11. Jangan mengikuti gurunya dengan perkataan atau soalan ketika dia bangkit dari majlisnya.
11. Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga dia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
12. Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila dia melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya. dalam hal ini hendaklah dia mengingati akan perkataan Nabi Musa kepada Nabi Khidir seperti yang disebutkan di dalam al-Quran surah al-kahfi ayat 71. Maka hendaklah dia mengingati bahawa dia yang tersalah pada keingkaran itu kerana dia hanya memandang yang zahir pada sisinya sahaja.

sekian, moga dapat dimanfaatkan.

Guru Pun Kena Beradab.


Tuan-tuan pendidik yang dirahmati Allah.

Di sini, di senaraikan adab-adab pendidik yang perlu dihayati. Semoga beroleh manfaat.

Petikan dari kitab bidayatul hidayah tulisan Imam Ghazali (505H) terjemahan Abu Ali Albanjari An-Nadwi cetakan khazanah banjariah cetakan kesebelas.

Adab-adab orang alim (adab-adab seorang guru).

Jika engkau seorang guru maka hendaklah engkau jaga adab-adab ini:

1. Ihtimal (banyak sabar menaggung kesusahan)
2. Lambat marah
3. Duduk dengan haibah atas kelakuan yang tetap serta menundukkan kepala.
4. Meninggalkan takbur atas sekelian hamba Allah Taala kecuali terhadap orang yang zalim kerana menegahkan daripada kezalimannya.
5. Memilih tawadhu' yakni merendahkan diri pada perhimpunan orang ramai dan majlis orang ramai.
6. Meninggalkan bergurau dan bermain-main
7. Kasih sayang dengan murid dan lemah lembut dengan yang kurang pandai
8. Membimbing murid yang bebal
9. Tidak memarahi murid yang bodoh
10. Tidak malu daripada berkata "aku tidak tahu" (bagi masalah yang tidak diketahuinya)
11. Memberikan perhatian kepada murid yang bertanya dan cuba memahami soalannya dengan baik.
12. Menerima hujjah atau dalil yang dihadapkan kepadanya
13. Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika ia tersalah
14. Melarang murid daripada ilmu yang boleh memudaratkan
15. Melarang murid daripada menghendaki yang lain dari Allah dengan ilmunya
16. Melarang murid daripada menuntut ilmu yang fardhu kifayah sebelum selesai daripada menuntut ilmu yang fardhu ain. Dan ilmu yang fardhu ain itu ialah yang berkenaan dengan membaikkan zahir dan batin dengan takwa.
17. Memperbaiki diri sendiri dengan takwa sebelum ia menyuruh orang lain, supaya muridnya dapat mencontohi amalannya dengan mengambil manfaat daripada percakapannya (ilmunya).